Monday 1 October 2012

AKU & BUDAYAKU...


Kita belajar untuk berkongsi dan menghormati budaya orang lain...untuk rujukan dan maklumat yang lebih mendalam...rujuk sumber-sumber yang berkaitan...ini sekadar pandangan dan pengalaman yang saya kongsikan bersama...


Apakah budaya menghormati orang tua bagi kaum orang ulu (kayan)?


Budaya menghormati orang tua bagi kaum orang ulu, khasnya suku kaum kayan saya rasakan lebih kurang sama dengan budaya kaum-kaum lain yang terdapat di Malaysia. Misalnya, gelaran untuk orang tua mahupun orang yang lebih tua daripada kita perlulah sopan dan sesuai dengan usia seseorang individu tersebut. Contohnya kalau gelaran untuk ayah dan ibu, kami gelarkan ‘amei’ dan ‘inei’. Dalam pergaulan pula, anak-anak muda perlulah menghormati orang tua dengan merendahkan diri mereka (liva kenep), tidak meninggikan diri. Pendek kata, dalam apa jua tindakan yang diambil, sebagai seorang anak kita janganlah ingkar dan derhaka terhadap orang tua nanti mendapat ‘tulah’ iaitu balasan. 


Apakah adat perkahwinan suku kaum orang ulu?


Bagi adat perkahwinan orang ulu (adat perkahwinan di rumah panjang), khasnya suku kaum kayan di Belaga sering kali dimulakan dengan adat merisik iaitu ‘meteng doh’ dan disusuli dengan adat peterang. Kemudian, adat bertunang diadakan. Namun, pada hari ini adat bertunang dan berkahwin dilakukan secara serentak. Ini adalah bertujuan untuk menjimatkan kos perbelanjaan. Dalam adat perkahwinan, pengantin lelaki akan diiringi oleh beberapa orang dalam satu barisan yang panjang dipanggil ‘badi’ sehinggalah sampai di bilik pihak perempuan. Pengantin lelaki akan menjemput pengantin perempuan dari dalam bilik setelah diserahkan oleh ayah si gadis. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Penghulu ataupun Maren Uma. Dalam adat perkahwinan ini, adat ‘nileh’ dilakukan iaitu meneliti setiap hantaran yang diberi oleh pihak lelaki untuk memastikan sama ada hantaran tersebut dalam keadaan baik dan mencukupi (tertakluk kepada Buku Adet Orang Ulu 1994). Jika ada kekurangan dan kecacatan, pihak lelaki perlu melengkapkan hantaran dan menukar ganti hantaran tersebut mengikut keputusan yang telah dibuat oleh pihak perempuan. Akhir sekali, adat tebara/nebara dilakukan bagi memberi nasihat kepada pasangan pengantin ini sebagai pedoman dan ingatan pada masa akan datang.

Apakah cara memberi salam bagi orang ulu?

Kebiasaannya, orang ulu tidak kira kayan, kenyah, punan, kejaman mahupun etnik lain pasti mengamalkan satu amalan memberi salam yang sama iaitu ‘petabik usu’ dalam bahasa kayan yang bermaksud bersalaman. Ini menunjukkan tanda kemesraan wujud di antara kedua-dua belah pihak tersebut. Contoh yang lain, yang biasa kita alami seperti:


Sayu jihma/ selamet jihma = selamat pagi

Nun dengah, bakeh? (kayan)...Apa khabar, kawan?

Sayu kenep…. Terima kasih.

CIKGU OH CIKGU....


Hidupku sebagai GURU PERMULAAN...

Menurut Trotter (1986), terdapat lima peringkat perkembangan guru iaitu peringkat novis, peringkat novis lanjutan, peringkat cekap, peringkat mahir dan peringkat pakar. Sebagai guru permulaan (novis), saya perlu menguasai bidang profesion keguruan terlebih dahulu untuk melengkapkan diri saya sebagai seorang guru berkualiti tinggi. Sehubungan itu, saya perlulah bersedia untuk menghadapi cabaran dan situasi sebenar seorang guru dalam bidangnya. Salah satu aspek yang perlu dilaksanakan ialah mematuhi dan menghayati Kod Etika Profesion Keguruan, akauntibiliti dan integriti guru serta Surat Pekeliling Ikhtisas.

Sebagai seorang guru, saya perlulah mempunyai masa untuk membaca dan memahami kod etika dan surat pekeliling yang telah disediakan dari masa ke semasa. Di samping itu, saya akan menyediakan sebuah buku nota kecil sebagai catatan tentang intipati kod etika dan surat pekeliling sebagai panduan saya pada setiap masa. Ini adalah kerana sifat manusia yang sering lupa dan alpa menjadikan mereka hilang panduan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Selain itu, saya perlulah mempunyai pendirian yang tetap dalam melakukan sebarang tugas dan tidak mudah terpengaruh dengan desakan rakan-rakan sejawat mahupun masyarakat di sekeliling. Jika saya rasakan sesuatu tindakan tersebut menyalahi etika dan intipati surat pekeliling, saya akan menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dalam melakukan perkara tersebut.
                       
“Motivation is everything. You can do the work of two people, but you can’t be two people. Instead, you have to motivate the next guy down the line and get him to inspire his people.” (Lee Iacocca in 101 Ways To Have A Great Day At Work)

Motivasi adalah kunci utama kejayaan seseorang dalam melakukan sesuatu tugas. Jika kita bermotivasi, pasti kerja yang banyak dapat dilakukan sebaiknya. Orang lain turut bermotivasi apabila kita menunjukkan semangat motivasi yang amat baik dan positif. Sehubungan dengan itu, saya akan mengekalkan malah meningkatkan motivasi dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya.

Misalnya, saya merancang dan menyediakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid-murid lebih awal. Hasilnya, murid pasti memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya lantas membantu mereka memperbaiki prestasi mereka dari masa ke semasa. Apabila ada perubahan dalam pencapaian akademik murid, pasti ada guru yang tertanya-tanya bagaimana perkara itu terjadi. Tanpa kita sedari, kita telah membuka mata dan minda guru supaya bersemangat dalam melakukan tugas yang telah diamanahkan dengan jujur dan ikhlas.

Selain daripada merotan murid, guru perlulah bersifat penyayang dan memahami kehendak setiap anak muridnya. Ini adalah kerana terdapat murid-murid berkelakuan nakal disebabkan mereka mendapat kurang perhatian di rumah, lantas mereka ingin mendapatkan kasih sayang daripada seorang guru dalam apa jua pun cara. Menurut C.P Varkey (2009), they don’t know any other way to discipline children...they don’t believe that love really changes the child. Saya percaya dengan adanya kasih sayang dalam diri seorang guru, murid-murid akan menyayanginya malah mengingatinya sampai bila-bila.
           
“Awak tolong pujuk Nurul tu. Dia menangis. Saya rotan dia sebab tak siap kerja rumah. Sebenarnya saya rasa kasihan padanya...tapi saya merotannya sebab saya sayangkan dia..” (Petikan daripada Kasih Seorang Guru oleh Fatimah Bunyamin, 2012)

Guru perlulah sedar akan tujuan mereka memarahi murid, bukan disebabkan rasa ingin melepaskan geram dan marah. Jika guru berintegriti tinggi, pasti tiada masalah dalam melaksanakan tugasnya. Misalnya, apabila ada individu-individu yang ingin menjalankan jualan langsung di sekolah, saya akan melarang dengan menyatakan kesannya jika mereka berbuat demikian. Pada masa yang sama juga, masa yang terluang akan saya isikan dengan melakukan kerja-kerja yang berfaedah. Misalnya, membaca bahan-bahan yang berkaitan dengan bidang yang diceburi, khasnya dalam matapelajaran Sains. Selain itu, saya akan gunakan masa tersebut untuk membuat inovasi dan mengimprovisasikan bahan-bahan yang sedia ada di sekolah. Ini adalah kerana terdapat sesetengah sekolah yang mempunyai kekurangan bahan dan alat bantu mengajar dalam matapelajaran Sains, khasnya ketika ingin menjalankan amali Sains.

“Jangan Diracuni Fikiran Mereka” oleh Fatimah Bunyamin (2012) memperlihatkan bagaimana sikap guru masa kini dalam mendidik anak-anak bangsa. Bagi mengatasi masalah tersebut, guru perlulah ikhlas dan jujur dalam mendidik anak-anak bangsa supaya tidak dipengaruhi dengan anasir-anasir yang negatif lantas melahirkan insan yang tidak menepati objektif Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Misalnya, isu-isu yang berkaitan dengan anti-kerajaan amat perlu dielakkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Guru yang mempunyai sifat kepimpinan yang terpuji akan membantu sekolah mencapai visi dan misi sekolah dan seterusnya merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara dan menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Menurut Norbi Husin (2011), ciri-ciri kepimpinan yang sesuai adalah seperti mempunyai minda kelas pertama, berfikiran secara positif, mengutamakan kualiti, menggunakan kaedah pedagogi yang pelbagai, budaya kerja kelas pertama, mempunyai nilai-nilai terpuji dan mempunyai hubungan baik dengan warga sekolah. Manakala dalam kajian kes yang dilakukan oleh Encik Zuber B. Haji Hassan, Encik Lee Lai Guan dan Encik Lim Khong Chiu (1996), guru perlulah tegas dalam usaha mencapai objektif dan matlamat, mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan, kepimpinan yang positif, cekap, amanah dalam tugas, berwawasan dan beretika.

Tuntasnya, guru yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan tersebut pasti dapat menyediakan suasana bekerja yang tenang dan berdaya saing secara positif. Pada masa yang sama, murid dapat menimba ilmu dengan bersemangat dan seronok. Ini adalah kerana barisan guru mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terpuji dan mulia. Di samping itu juga, guru janganlah memandang mudah profesion keguruan ini. Memetik keratan artikel Perubahan Tugas Pendidik Pada Era Digital (2009), “...kerjaya ini memerlukan mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, berwibawa, berkelayakan, minat, iltizam dan berjiwa pendidik...bagi melahirkan lebih ramai tokoh guru terbilang.” Maka, guru perlulah menyahut cabaran tersebut dengan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menjadi seorang tokoh yang terbilang pada suatu hari nanti berlandaskan ciri-ciri kepimpinan tersebut.

Rujukan:

Encik Zuber B. Haji Hassan, Encik Lee Lai Guan & Encik Lim Khong Chiu (1996). Kajian Kes Institut Perguruan Darulaman Jitra, Kedah Darul Aman.Tahap Kesediaan Guru Permulaan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam Pengendalian Kegiatan Luar di Sekolah, 76-77.


C.P. Varkej, SJ. (2009). After Parents Teachers Shape Children 35-37. Mumbai: Better Yourself Books.

Fatimah Bunyamin (2012). Nota Cinta untuk Guru. Kuala Lumpur: Must Read Sdn. Bhd.

Norbi Husin (2011). Memecah Masalah (Soal Jawab Guru). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Stephanie G. D. (2010). 101 Ways To Have A Great Day At Work 52-53. Kuala Lumpur: Advantage Quest Publications Sdn. Bhd.