Monday 1 October 2012

AKU & BUDAYAKU...


Kita belajar untuk berkongsi dan menghormati budaya orang lain...untuk rujukan dan maklumat yang lebih mendalam...rujuk sumber-sumber yang berkaitan...ini sekadar pandangan dan pengalaman yang saya kongsikan bersama...


Apakah budaya menghormati orang tua bagi kaum orang ulu (kayan)?


Budaya menghormati orang tua bagi kaum orang ulu, khasnya suku kaum kayan saya rasakan lebih kurang sama dengan budaya kaum-kaum lain yang terdapat di Malaysia. Misalnya, gelaran untuk orang tua mahupun orang yang lebih tua daripada kita perlulah sopan dan sesuai dengan usia seseorang individu tersebut. Contohnya kalau gelaran untuk ayah dan ibu, kami gelarkan ‘amei’ dan ‘inei’. Dalam pergaulan pula, anak-anak muda perlulah menghormati orang tua dengan merendahkan diri mereka (liva kenep), tidak meninggikan diri. Pendek kata, dalam apa jua tindakan yang diambil, sebagai seorang anak kita janganlah ingkar dan derhaka terhadap orang tua nanti mendapat ‘tulah’ iaitu balasan. 


Apakah adat perkahwinan suku kaum orang ulu?


Bagi adat perkahwinan orang ulu (adat perkahwinan di rumah panjang), khasnya suku kaum kayan di Belaga sering kali dimulakan dengan adat merisik iaitu ‘meteng doh’ dan disusuli dengan adat peterang. Kemudian, adat bertunang diadakan. Namun, pada hari ini adat bertunang dan berkahwin dilakukan secara serentak. Ini adalah bertujuan untuk menjimatkan kos perbelanjaan. Dalam adat perkahwinan, pengantin lelaki akan diiringi oleh beberapa orang dalam satu barisan yang panjang dipanggil ‘badi’ sehinggalah sampai di bilik pihak perempuan. Pengantin lelaki akan menjemput pengantin perempuan dari dalam bilik setelah diserahkan oleh ayah si gadis. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Penghulu ataupun Maren Uma. Dalam adat perkahwinan ini, adat ‘nileh’ dilakukan iaitu meneliti setiap hantaran yang diberi oleh pihak lelaki untuk memastikan sama ada hantaran tersebut dalam keadaan baik dan mencukupi (tertakluk kepada Buku Adet Orang Ulu 1994). Jika ada kekurangan dan kecacatan, pihak lelaki perlu melengkapkan hantaran dan menukar ganti hantaran tersebut mengikut keputusan yang telah dibuat oleh pihak perempuan. Akhir sekali, adat tebara/nebara dilakukan bagi memberi nasihat kepada pasangan pengantin ini sebagai pedoman dan ingatan pada masa akan datang.

Apakah cara memberi salam bagi orang ulu?

Kebiasaannya, orang ulu tidak kira kayan, kenyah, punan, kejaman mahupun etnik lain pasti mengamalkan satu amalan memberi salam yang sama iaitu ‘petabik usu’ dalam bahasa kayan yang bermaksud bersalaman. Ini menunjukkan tanda kemesraan wujud di antara kedua-dua belah pihak tersebut. Contoh yang lain, yang biasa kita alami seperti:


Sayu jihma/ selamet jihma = selamat pagi

Nun dengah, bakeh? (kayan)...Apa khabar, kawan?

Sayu kenep…. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment