Hidupku sebagai GURU PERMULAAN...
Menurut Trotter (1986), terdapat lima peringkat perkembangan guru iaitu
peringkat novis, peringkat novis lanjutan, peringkat cekap, peringkat mahir dan
peringkat pakar. Sebagai guru permulaan (novis), saya perlu menguasai bidang
profesion keguruan terlebih dahulu untuk melengkapkan diri saya sebagai seorang
guru berkualiti tinggi. Sehubungan itu, saya perlulah bersedia untuk menghadapi
cabaran dan situasi sebenar seorang guru dalam bidangnya. Salah satu aspek yang
perlu dilaksanakan ialah mematuhi dan menghayati Kod Etika Profesion Keguruan,
akauntibiliti dan integriti guru serta Surat Pekeliling Ikhtisas.
Sebagai seorang guru, saya perlulah mempunyai masa untuk membaca dan
memahami kod etika dan surat pekeliling yang telah disediakan dari masa ke
semasa. Di samping itu, saya akan menyediakan sebuah buku nota kecil sebagai
catatan tentang intipati kod etika dan surat pekeliling sebagai panduan saya
pada setiap masa. Ini adalah kerana sifat manusia yang sering lupa dan alpa
menjadikan mereka hilang panduan dalam melaksanakan tugas yang telah
diamanahkan. Selain itu, saya perlulah mempunyai pendirian yang tetap dalam
melakukan sebarang tugas dan tidak mudah terpengaruh dengan desakan rakan-rakan
sejawat mahupun masyarakat di sekeliling. Jika saya rasakan sesuatu tindakan
tersebut menyalahi etika dan intipati surat pekeliling, saya akan menyatakan
bahawa saya tidak bersetuju dalam melakukan perkara tersebut.
“Motivation is everything. You can do the work of two people, but you can’t
be two people. Instead, you have to motivate the next guy down the line and get
him to inspire his people.” (Lee Iacocca in 101 Ways To Have A Great Day At Work)
Motivasi adalah kunci utama kejayaan seseorang dalam melakukan sesuatu
tugas. Jika kita bermotivasi, pasti kerja yang banyak dapat dilakukan
sebaiknya. Orang lain turut bermotivasi apabila kita menunjukkan semangat
motivasi yang amat baik dan positif. Sehubungan dengan itu, saya akan
mengekalkan malah meningkatkan motivasi dalam melaksanakan tugas yang telah
dipertanggungjawabkan kepada saya.
Misalnya, saya merancang dan menyediakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid-murid lebih awal. Hasilnya, murid
pasti memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya lantas membantu mereka
memperbaiki prestasi mereka dari masa ke semasa. Apabila ada perubahan dalam
pencapaian akademik murid, pasti ada guru yang tertanya-tanya bagaimana perkara
itu terjadi. Tanpa kita sedari, kita telah membuka mata dan minda guru supaya
bersemangat dalam melakukan tugas yang telah diamanahkan dengan jujur dan
ikhlas.
Selain daripada merotan murid, guru perlulah bersifat penyayang dan
memahami kehendak setiap anak muridnya. Ini adalah kerana terdapat murid-murid berkelakuan
nakal disebabkan mereka mendapat kurang perhatian di rumah, lantas mereka ingin
mendapatkan kasih sayang daripada seorang guru dalam apa jua pun cara. Menurut
C.P Varkey (2009), they don’t know any
other way to discipline children...they don’t believe that love really changes
the child. Saya percaya dengan adanya kasih sayang dalam diri seorang guru,
murid-murid akan menyayanginya malah mengingatinya sampai bila-bila.
“Awak tolong pujuk Nurul tu. Dia menangis. Saya rotan dia
sebab tak siap kerja rumah. Sebenarnya saya rasa kasihan padanya...tapi saya
merotannya sebab saya sayangkan dia..” (Petikan daripada Kasih Seorang Guru
oleh Fatimah Bunyamin, 2012)
Guru perlulah sedar akan tujuan mereka memarahi murid, bukan disebabkan
rasa ingin melepaskan geram dan marah. Jika guru berintegriti tinggi, pasti
tiada masalah dalam melaksanakan tugasnya. Misalnya, apabila ada
individu-individu yang ingin menjalankan jualan langsung di sekolah, saya akan
melarang dengan menyatakan kesannya jika mereka berbuat demikian. Pada masa
yang sama juga, masa yang terluang akan saya isikan dengan melakukan
kerja-kerja yang berfaedah. Misalnya, membaca bahan-bahan yang berkaitan dengan
bidang yang diceburi, khasnya dalam matapelajaran Sains. Selain itu, saya akan
gunakan masa tersebut untuk membuat inovasi dan mengimprovisasikan bahan-bahan
yang sedia ada di sekolah. Ini adalah kerana terdapat sesetengah sekolah yang
mempunyai kekurangan bahan dan alat bantu mengajar dalam matapelajaran Sains,
khasnya ketika ingin menjalankan amali Sains.
“Jangan Diracuni Fikiran Mereka” oleh Fatimah Bunyamin (2012)
memperlihatkan bagaimana sikap guru masa kini dalam mendidik anak-anak bangsa.
Bagi mengatasi masalah tersebut, guru perlulah ikhlas dan jujur dalam mendidik
anak-anak bangsa supaya tidak dipengaruhi dengan anasir-anasir yang negatif
lantas melahirkan insan yang tidak menepati objektif Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Misalnya, isu-isu yang berkaitan dengan anti-kerajaan amat perlu
dielakkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Guru yang mempunyai sifat kepimpinan yang terpuji akan membantu sekolah
mencapai visi dan misi sekolah dan seterusnya merealisasikan Falsafah
Pendidikan Negara dan menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Menurut Norbi Husin (2011), ciri-ciri kepimpinan yang sesuai adalah seperti
mempunyai minda kelas pertama, berfikiran secara positif, mengutamakan kualiti,
menggunakan kaedah pedagogi yang pelbagai, budaya kerja kelas pertama,
mempunyai nilai-nilai terpuji dan mempunyai hubungan baik dengan warga sekolah.
Manakala dalam kajian kes yang dilakukan oleh Encik Zuber B. Haji Hassan, Encik
Lee Lai Guan dan Encik Lim Khong Chiu (1996), guru perlulah tegas dalam usaha
mencapai objektif dan matlamat, mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan,
kepimpinan yang positif, cekap, amanah dalam tugas, berwawasan dan beretika.
Tuntasnya, guru yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan tersebut pasti dapat
menyediakan suasana bekerja yang tenang dan berdaya saing secara positif. Pada
masa yang sama, murid dapat menimba ilmu dengan bersemangat dan seronok. Ini
adalah kerana barisan guru mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terpuji dan
mulia. Di samping itu juga, guru janganlah memandang mudah profesion keguruan
ini. Memetik keratan artikel Perubahan Tugas Pendidik Pada Era Digital (2009),
“...kerjaya ini memerlukan mereka mempunyai kualiti, berketerampilan,
berwibawa, berkelayakan, minat, iltizam dan berjiwa pendidik...bagi melahirkan
lebih ramai tokoh guru terbilang.” Maka, guru perlulah menyahut cabaran
tersebut dengan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menjadi seorang
tokoh yang terbilang pada suatu hari nanti berlandaskan ciri-ciri kepimpinan
tersebut.
Rujukan:
Encik Zuber B. Haji
Hassan, Encik Lee Lai Guan & Encik Lim Khong Chiu (1996). Kajian Kes Institut
Perguruan Darulaman Jitra, Kedah Darul Aman.Tahap
Kesediaan Guru Permulaan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam Pengendalian
Kegiatan Luar di Sekolah, 76-77.
C.P. Varkej, SJ.
(2009). After Parents Teachers Shape
Children 35-37. Mumbai: Better Yourself Books.
Fatimah Bunyamin
(2012). Nota Cinta untuk Guru. Kuala
Lumpur: Must Read Sdn. Bhd.
Norbi Husin
(2011). Memecah Masalah (Soal Jawab
Guru). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Stephanie G. D.
(2010). 101 Ways To Have A Great Day At
Work 52-53. Kuala Lumpur: Advantage Quest Publications Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment